Sistem lampu jalan pintar di Putrajaya, infrastruktur IoT pertama di Malaysia

Oleh Mohd Ridzwan Md. Iman -May 7, 2021069

putrajaya

PERBADANAN Putrajaya (PPj) mengadakan kerjasama dengan syarikat Vectolabs Technologies Sdn Bhd (Vectolabs) bagi melaksanakan infrastruktur Internet of Things (IoT) yang pertama di Malaysia di bawah National Technology and Innovation Sandbox (NTIS).

LAMPU jalan yang pintar akan menggabungkan semua ciri-ciri Internet of Things. – GAMBAR HIASAN

Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain berkata, infrastruktur IoT tersebut dilaksanakan dengna penggunaan aplikasi Lampu Jalan Pintar di Presint 15, Putrajaya sebagai permulaan menggunakan teknologi LoRa di bawah Putrajaya Smart City Blueprint.

LoRa adalah teknologi ‘Low Power Wide Area Network’ (LPWAN) yang menggunakan teknik modulasi wayarles untuk mencapai jarak komunikasi yang jauh dengan penggunaan tenaga yang rendah, menjadikan ia sesuai bagi penghantaran data sensor dari peranti IoT.

Perjanjian yang ditandatangani adalah untuk kerjasama penyediaan infrastruktur LoRa di lampu jalan di Presint 15 Putrajaya, menggunakan ‘gateway’ yang mampu mencapai jarak radius dua hingga lima kilometer di dalam bandar.

Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain (kiri) dan Faizal Ali .

Projek dibiayai NTIS itu dilaksanakan dengan kerjasama PPj, Vectolabs dan Wireless and Photonics Networks Research Center (WiPNET) Universiti Putra Malaysia dalam kategori Single Site Innovation Sandbox.

Projek Sandbox tersebut merangkumi penghasilan kerangka operasi infrastruktur LoRa yang dikendalikan oleh PBT untuk bandar dan komuniti pintar yang akan diterbitkan pada akhir tahun ini.

Kerangka itu bertujuan untuk menyokong peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan memberikan panduan operasional praktikal mengenai perancangan, implementasi, pengurusan dan penilaian rangkaian dari segi interaksi rangkaian, pematuhan pengawalseliaan serta pengurusan dan pemantauan rangkaian LoRa.

Kerangka ini dihasilkan oleh gabungan pengasas dari rantaian nilai teknologi LoRa yang terdiri daripada PPj, WiPNET, Kerlink (Asia Pasifik), Murata Manufacturing, Cre8IOT, Vectolabs, Favoriot, Myinvent Technologies dan MSD Innovation.

Muhammad Azmi berkata PPj melalui Putrajaya Smart City Blueprint kini sedang menuju ke arah pembentukan bandar yang terhubung dengan infrastruktur IoT dan masih di peringkat awal fasa pembangunannya.

“Apabila teknologi dan penggunaan IoT ini semakin maju, maka penggunaannya juga akan lebih kreatif serta potensi teknologi ini dapat difahamkan dengan lebih mendalam. Kesan penggunaan IoT sering menjadi topik perbualan dimana ia merupakan sebahagian daripada Revolusi Industri keempat.

“Kami amat menghargai inisiatif kerajaan dalam mewujudkan NTIS ini. Selain dapat memberi penyelesaian inovatif dalam pengurusan bandar dengan lebih efektif, ia juga dapat memberi peluang kepada pengusaha tempatan serta syarikat baru untuk menyumbang kepada pembangunan bandar,” katanya.

Kebanyakan pelaksanaan bandar pintar hari ini hanya memberi fokus tunggal untuk menyelesaikan sayu-satu masalah operasi pada suatu masa.

Matlamat akhir bandar pintar bersepadu seharusnya mampu mengurus dan memantau pelbagai perkhidmatan sebuah bandar raya seperti, lampu jalan, tempat letak kereta, kualiti air, dan lain-lain.

Pelaksanaan seperti ini hanya akan menghasilkan rangkaian, platform perisian dan data yang tidak saling kendali (non-interoperable), bersepadu atau berdaya maju.

Ketua Pegawai Eksekutif Vectolabs, Faizal Ali berkata ketiadaan rangkaian IoT yang dikendalikan oleh PBT adalah penghalang utama untuk membina bandar pintar kerana setiap projek perintis memerlukan infrastruktur rangkaiannya sendiri tanpa “interoperability” yang meningkatkan kos.

Projek Sandbox dilaksanakan menggunakan model Bina-Kendali-Pindah (B.O.T) dan PPj akan memiliki dan mengendalikan rangkaian LoRa bagi Putrajaya setelah ia siap.

Projek ini telah dimulakan sebaik sahaja menerima dana NTIS pada bulan Februari 2021 dan telah menyempurnakan pemetaan rangkaian LoRa serta rekod inventori aset pada April 2021.

Fasa terakhir, iaitu fasa “Pindah” kepada PPj, dijangka akan dilaksanakan pada bulan Ogos 2021.

Bandar pintar mampu meningkatkan kualiti perkhidmatan, seperti mengurangkan masa kerosakan lampu jalan dengan pengesanan kegagalan automatik, mengurangkan kesesakan dengan mengarah trafik ke tempat letak kenderaan yang terdekat, atau menyampaikan maklumat kualiti air dan udara kepada warga komuniti.

Kos operasi juga dapat dikurangkan dengan adanya operasi yang efisien dan dapat dilaksanakan dengan perbelanjaan yang lebih rendah.

Sistem lampu jalan pintar yang dihasilkan oleh Vectolabs adalah sistem lampu jalan pintar yang pertama akan dipasang di Putrajaya.

Sistem ini membolehkan pengurusan semua jenis aset lampu jalan termasuk feeder pillar dan semua jenis lampu jalan seperti lampu LED smart-ready, LED biasa serta lampu konvensional High-Pressure Sodium (HPS).

Selain itu, sistem ini dapat membantu PPj dalam pembaikan lampu jalan rosak secara proaktif dengan notifikasi automatik dengan maklumat penting seperti komponen bermasalah, lokasi lampu jalan yang tepat, feeder pillar, litar, serta fasa bagi setiap lampu jalan.

PPj juga mampu mengesan arahan kerja bagi pembaikan lampu jalan yang rosak untuk memastikan kualiti perkhidmatan yang terbaik kepada komuniti Putrajaya.